Wednesday, October 13, 2010

Mempergerakkan Diri

Beberapa minggu ini, tahap kesihatan saya agak merosot. Jika saya seorang atlet sukan, mungkin bahasa yang digunakan ialah tidak berada dalam kecergasan. Walaupun begitu saya perlu mempergerakkan diri. Antaranya :
14.10 Mempergerakkan diri ke Kolej Komuniti Gambang, Kuantan (kursus)
15.10 (pagi) Mempergerakkan diri ke JKR Daerah Lipis.
15.10 (petang) Mempergerakkan diri ke Negeri Sembilan untuk program Pelajar.
16.10 di Negeri Sembilan
17.10 Mempergerakkan diri ke Kuantan, Ihtifal Pusat Asuhan Tunas Islam.
18.10 di Lipis
Mudahan Allah kurniakan kekuatan buat saya dan juga para sahabat sekalian. Terkenang kisah perjuangan para pejuang silam. Ada antaranya yang tidaklah sihat mana pun tetapi tahap perjuangan dan pengorbanannya amat tinggi, mengalahkan mereka yang sihat wal afiat. Semoga saya dan kita semua mendapat motivasi dan semangat dari mereka-mereka yang terdahulu daripada kita.
Di ruangan ini, mari sama-sama kita renungi sedikit cebisan ringkas kisah seorang tokoh pejuang yang telah melakar nama gemilang dalam perjuangan Islam ini, InsyaAllah..
Dato' Paduka Prof Zulkifli Muhammad yang lahir pada 22 Mac 1927 mungkin kurang dikenali oleh orang-orang muda sekarang. Dalam usia 37 tahun beliau telah kembali ke rahmatullah dalam satu kemalangan jalanraya di Kuantan Pahang pada 6 Mei 1964.
Zulkifli Muhammad sewaktu kecilnya telah diserang sejenis penyakit lumpuh (polio) sehingga tangan dan kakinya menjadi lemah. Apabila umurnya semakin meningkat dan sudah boleh berjalan, ternyatalah ia cacat anggota kaki dan tangannya. Walaupun kaki tangannya lemah tetapi beliau tetap mahu berjalan. Walau seribu kali beliau jatuh namun beliau tetap berusaha untuk bangun dan terus bangun. Anggota yang cacat inilah yang dibawanya dalam perjuangan dan juga dibawa bersemadi di dalam lahad.
Beliau mempunyai cita-cita yang besar. Beliau meminta kepada ayahnya untuk belajar ke mana-mana sekolah yang lebih tinggi, tetapi pada awalnya ayahnya keberatan memandangkan keadaan anggota badannya yang lemah. Bapanya beranggapan kalau Zulkifli belajar setinggi mana pun, beliau tidak akan dapat memegang jawatan tinggi kerana setiap orang yang hendak bekerja dengan kerajaan mesti melalui pemeriksaan doktor, bapanya percaya doktor tidak dapat meluluskannya dalam pemeriksaan nanti.
Setelah Zulkifli meninggal, bapanya berkata "apabila saya teringat perkataan yang saya katakan kepadanya itu saya rasa terlalu sedih dan menyesal. Saya tidak sangka anak saya itu boleh jadi pemimpin.
Beberapa jam sebelum kematiannya, Zulkifli memandu keretanya, sebuah Fiat kecil bernombor JB 9977 dari Bachok Kelantan. Berhenti seketika di bandar Kuantan, setelah itu meneruskan perjalanan dan hanya empat batu dari bandar Kuantan, tiba di atas satu jalan yang sebelah kirinya sedang diperbaiki. Ketika kereta berada di atas jalan yang sempit inilah tiba-tiba muncul dari hadapan sebuah landrover yang dipandu laju menerpa dan kemudiannya berlakulah pelanggaran yang dahsyat yang membawa kepada kematian kepada beliau dan isterinya.
Atas jasa dan pengorbanan yang besar terhadap perjuangan Islam di negara kita, maka suatu institut pengajian tinggi telah ditubuhkan dengan menggunakan nama beliau ; Kolej Universiti Zulkifli Muhammad (KUIZM).
Mudahan kita semua bersemangat sama seperti semangatnya Prof. Zulkifli Muhammad. Beliau pernah berkata " Biarlah apa yang akan terjadi kepada kita, biarlah kita menghadap Allah SWT dengan hati yang suci dan dengan mengatakan aku sentiasa berjuang untukMu". Kisah beliau saya petik dari buku Wasiat Perjuangan Zulkifli Muhammad oleh Dato' Mokhtar Petah.

No comments: