Monday, October 11, 2010

Masjid yang Muram

Saya begitu teruja apabila bertandang ke masjid-masjid di bandar besar khususnya di Selangor dan Kuala Lumpur. Jeles pun ada. Sangat jauh pencapaiannya jika ingin dibandingkan dengan masjid-masjid di negeri Pahang ini. Fizikal masjid yang begitu selesa dilengkapi dengan penghawa dingin, LCD, PA system yang berkualiti, hiasan dalaman yang cantik dan kemas. Aktiviti masjidnya pula agak padat dengan pengisian-pengisian ilmu yang disampaikan oleh tokoh-tokoh ulama yang pendengarnya akan memenuhi ruangan masjid. Bagi struktur pentadbirannya pula, mempunyai AJK yang berwibawa untuk menggerakkan masjid. Masjid mempunyai dana kewangan yang kukuh untuk membiayai segala-galanya.. aircond, bayaran penceramah, kos program-program dan sebagainya.

Memang sudah menjadi trend sekarang, orang di bandar-bandar lebih dekat jiwanya dengan agama, mungkin disebabkan dengan taraf pendidikan penduduknya berbanding dengan orang di kampung-kampung.

Kalau Masjid-masjid di negeri Pahang, dhaif sangat rasanya jika ingin dibandingkan. Masjid-masjid yang sama reka bentuk antara sama satu lain. Contohnya bagi masjid daerah, Masjid Daerah Temerloh, Mentakab, Masjid Daerah lama Jerantut, Lipis, Masjid ketari Bentong, Masjid Daerah Rompin, Masjid Jalan Gambang Kuantan, Masjid Daerah Pekan mempunyai bentuk yang sama sahaja. Kubah yang sama, design yang sama.

Bagi Masjid Daerah Cameron dan Masjid Tengku Abu Bakar Raub mempunyai design yang sama. Jengka, Chenor dan masjid Hidayah berkongsi design juga.

Untuk beberapa daerah yang sudah mempunyai masjid daerah yang baru seperti di Raub, Jerantut dan Bentong berkongsi design yang sama juga.

Berkongsi pelan juga berlaku bagi masjid-masjid kampong. Kecuali jika masjid kampong itu didirikan oleh orang ramai, jika melalui peruntukan kerajaan jawabnya sama sahaja bentuk designnya.

Mungkin memudahkan untuk pelancong-pelancong yang meminati masjid, tak perlu melawat ke banyak masjid, cukup beberapa buah sahaja untuk koleksi gambar kerana antara satu masjid dengan masjid yang lain sama sahaja bentuknya..Mungkin…memang sudah menjadi tabiat Pahang suka bentuk masjid yang sama.

Beberapa pemerhatian yang rasanya jawapan kepada muramnya institusi masjid di negeri Pahang antaranya :

1. Masjid mempunyai AJK yang tidak selayaknya untuk mentadbir Masjid. Perlantikan AJK yang ditabiri oleh parti politik dan jawatan dalam kerajaan seperti ketua-ketua jabatan menyebabkan timbul pelbagai masalah, AJK tak hadir ke Masjid, AJK hanya mahu nama sahaja, hanya mahukan jawatan sahaja, sebagai markah bonus untuk diisi dalam borang SKT. Maka terhasillah kebanyakan AJK masjid di Pahang yang nama AJKnya ada YH Dato’ ada yang di hujung nama asal terselit huruf PJK,PPN, AMP,JP,SMP dan sebagainya.

2. Dana kewangan masjid yang tidak kukuh. Ada duit macam-macam perkara yang boleh dilaksanakan. Dengan AJK yang tidak cakna bagaimana masjid mampu untuk menjana kewangannya. Hanya bergantung kepada tabung derma orang ramai khususnya hari jumaat yang jumlahnya pun tak lah sebanyak mana.

3. AJK terutama bendahari yang tidak faham untuk menguruskan tabung derma orang ramai. Ada masjid yang duit derma sampai RM 100 000. Tapi tersimpan dalam bank, susah sangat nak keluar. Mereka bangga dengan jumlah yang banyak sahaja.

4. Hilang kepercayaan orang ramai untuk memberi derma. Mereka kata, baik mereka derma ke tempat lain, bagi derma ke masjid, duit derma hanya disimpan dalam bank, sampai beranak pinak dividen dalam bank, seolah jariah mereka tersekat dalam bank.. AJK yang menyekatnya.

5. Bagi Masjid Daerah yang merupakan Masjid Kerajaan yang mempunyai staf kerajaan yang ditempatkan di situ, tidak mempunyai peruntukan tahunan kerajaan. Berbeza dengan bangunan kerajaan yang lain, ada peruntukan tahunan dari kerajaan. Bila masjid tidak ada. Duit diberi secara langsam kepada Jabatan Agama untuk uruskan. Pandai-pandailah Jabatan Agama nak urus, masjid lagi, sekolah lagi, program-program agama lagi… sudahnya adalah masjid yang dah nak roboh tak dapat peruntukan untuk membaikinya. Contoh masjid Lipis yang mengalami kebocoran yang serius, Sudah beberapa kali hantar surat ke jabatan..tak ada apa pun lagi tindakan, jawapan diberi Jabatan tak ada duit sekarang.

6. Yang paling penting, Tahap ilmu orang-orang di sini tidak sama dengan orang-orang di Bandar besar. Dengan ilmulah yang dapat merubah segalanya. Dengan ilmu manusia akan dekat kepada agamanya.

No comments: