Thursday, September 02, 2010

Imam Tahfiz Jemputan

Bilal Akmal & Bilal Zarimi bersama Amin& 'Aqil (imam jemputan solat terawih dari Maahad Tahfiz negeri Kelantan)

Sudah menjadi lumrah di negara kita. Apabila bulan Ramadhan menjelang, masjid-masjid dan surau-surau mencari imam jemputan bagi mengimami solat sunat terawih. Namun ada juga masjid dan surau yang tidak berbuat demikian. Memadai dengan imam tempatan yang sedia ada. Masing-masing mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri.

Catatan ini bukanlah ingin mengutarakan faedah dan keistimewaan kita mengambil imam jemputan yang biasanya dipanggil imam hafiz. Cuma hanya ingin menyentuh sedikit sahaja iaitu berkaitan bayaran imbuhan kepada para imam jemputan.

Bagi mereka yang memahami, menjadi imam untuk solat terawih bukanlah suatu pekerjaan yang mudah. Apatah lagi imam hafiz yang akan membaca hampir keseluruhan ayat suci al-Quran. Tenaga mental dan fizikal sangat diperlukan dan biasanya agak keletihan setelah selesai mengimami solat terawih. Maka sudah sepatutnya masjid-masjid dan surau memberi kadar imbuhan yang berbaloi dengan khidmat imam-imam hafiz ini.

Saya selalu berdepan dengan mereka yang berkata : ala.. jadi imam.. mudah aje...,
...kenapa lah nak bayar mahal-mahal kepada imam hafiz...

Biasalah manusia bila berkait dengan agama selalu sangat berkira. Contoh yang lain : Bila program keagamaan peringkat negeri atau kebangsaan, biasanya akan dijemput tokoh agama untuk menyampaikan syarahannya. Agak-agaknya lah berapa yang dibayar kepada penceramah itu. Berbanding jika suatu karnival hiburan dan kebudayaan peringkat negeri ataupun kebangsaan yang menampilkan artis-artis. Berapa penganjur bayar kepada artis-artis ini... Saya pasti kadar perbezaannya sangat jauh.

Sahabat saya yang terlibat dalam urusan mencarikan imam-imam hafiz untuk masjid-masjid dan surau akan menekankan soal imbuhan ini. Katanya kalau tak seberapa imbuhannya padanlah dengan imam tempatan sedia ada sahaja. Kalau tak kesian kepada imam-imam jemputan tersebut.

Ketika saya masih menuntut dahulu, pernah di suatu tahun itu saya bersama sahabat saya hasnol (kini pensyarah Maahad Tahfiz Pahang) menjadi imam di sebuah surau x. Kami tinggal menginap di surau tersebut, tidor, bangun, buka puasa, sahur di situ. Di samping itu menjadi imam dan bilal untuk kesemua waktu solat fardhu, zohor, asar, maghrib, isya' dan subuh. al-Maklumlah surau yang hanya beroperasi pada bulan ramadhan sahaja. Di penghujung ramadhan dalam 2-3 hari lagi syawal akan menjelang, kami menamatkan khidmat kami di surau tersebut dan menerima sedikit imbuhan. Tanpa bersampul not dimasukkan terus ke poket kami. Bila kami balik ke Maahad, seluruh sahabat kami menyuarakan tak patut sungguh pihak pengurusan surau x tersebut. Kami berdua hanya dapat RM 50.00 seorang untuk sepanjang ramadhan menjadi imam terawih, imam dan bilal solat fardhu. Tahun-tahun berikutnya sudah semestinya surau tersebut diboikot oleh pihak Maahad Tahfiz.

Bersama Hasnol ketika saya bekerja di Maahad Tahfiz Pahang

Alhamdulillah, pada tahun-tahun berikutnya saya mendapat imbuhan yang boleh dikira berbaloilah sebagai imam terawih. Saya pernah berpartner dengan Allahyarham Fauzi di Masjid Bukit Sekilau yang setiap malam selepas solat terawih kami dibawa oleh Bro Ahmad Yusuf (Bekas pemain Bola Sepak kebangsaan, kini jurulatih) menjamu selera di restoran-restoran yang berbeza pada setiap hari.

Bersama Arwah Fauzi dan Ayah kepada Fikri ketika kami ke rumah Fikri di Selangor


Kini, saya hanya menguruskan imam-imam hafiz. Bagi masjid kami, Imam hafiz daripada maahad Tahfiz di negeri Kelantan. Dan semestinya saya akan memastikan mereka mendapat imbuhan yang selayaknya sebagai hamlatul Quran yang perlu kita hormati dan sanjungi.



Bersama YH Dato' Zulkifle Ali al-Hafiz dan Syeikh Muhammad, imam jemputan dari Mesir yang ditaja oleh Yayasan Pahang, tahun 2008

Bersama Syeikh Muhammad ketika rakaman bacaan al-Quran di Pahang.FM. turut bersama Syeikh Ahmad (pensyarah Maahad Tahfiz warga Mesir)

No comments: