Thursday, March 25, 2010

Menghafaz al-Quran

Bersama dengan perintis kelas tahfiz SMA Padang Tengku
Projek kelas Tahfiz kini merupakan menjadi projek terbaru JAIP. Beberapa SMA telah menjalankan projek kelas tahfiz ini, Antara sekolah-sekolah yang telah mula menjalankan kelas tahfiz antaranya di Maahad Sas Jengka, SMA al-Khairiah, SMA Padang Tengku, SMA Chenor dan beberapa SMA lain mula menjalankan kelas ini pada tahun 2010. Untuk SMA al-Ihsan Kuantan, telah menjalinkan kerjasama dengan Maahad Tahfiz Pahang, Pelajar Maahad Tahfiz (sampai ting 3 shj) akan melanjutkan pelajaran di SMA al-Ihsan @ di Sek.Men Abdul Rahman Talib
Allah telah menjanjikan kelebihan kepada mereka yang menghafal al Quran, antaranya :
1.MEREKA ADALAH KELUARGA ALLAH SWT
Daripada Anas ra. Ia berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya Allah itu mempunyai keluarga yang terdiri daripada manusia."
Kemudian Anas berkata lagi, "Siapakah mereka itu wahai Rasulullah?"
Baginda menjawab: "Iaitu ahli Quran (orang yang membaca atau menghafal Al- Quran dan mengamalkan isinya). Mereka adalah keluarga Allah dan orang-orang yang istimewa bagi Allah.

2.DITEMPATKAN DI SYURGA YANG PALING TINGGI
Daripada Abdullah Bin Amr Bin Al Ash ra dari nabi s.a.w, baginda bersabda;
Di akhirat nanti para ahli Al Quran diperintahkan, "Bacalah dan naiklah ke syurga. Dan bacalah Al Quran dengan tartil seperti engkau membacanya dengan tartil pada waktu di dunia. Tempat tinggalmu di syurga berdasarkan ayat paling akhir yang engkau baca."

3. AHLI AL QURAN ADALAH ORANG YANG ARIF DI SYURGA
Daripada Anas ra. Bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Para pembaca Al Quran itu adalah orang-orang yang arif di antara penghuni syurga."

4. MENGHORMATI ORANG YANG MENGHAFAL AL QURAN BERERTI MENGAGUNGKAN ALLAH SWT.
Daripada Abu Musa Al Asya'ari ra. Dia berkata bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda:"Di antara perbuatan mengagungkan Allah adalah menghormati orang Islam yang sudah tua, menghormati orang yang menghafal Al-Quran yang tidak berlebih-lebihan dalam mengamalkan isinya dan tidak membiarkan Al-Quran tidak di amalkan, serta menghormati kepada penguasa yang adil."

5. HATI PENGHAFAL AL-QURAN TIDAK DISEKSA
Daripada Abdullah Bin Mas'ud ra. Daripada nabi s.a.w. baginda bersabda:
"Bacalah Al Quran kerana Allah tidak akan menyeksa hati orang yang hafal al-quran. Sesungguhanya Al -Quran ini adalah hidangan Allah, siapa yang memasukinya ia akan aman. Dan barangsiapa yang mencintai Al Quran maka hendaklah ia bergembira."

6.MEREKA LEBIH BERHAK MENJADI IMAM DALAM SOLAT
Daripada Ibnu Mas'ud ra. Dari Rasulullah s.a.w. beliau bersabda; "Yang menjadi imam dalam solat suatu kaum hendaknya yang paling pandai membaca Al Quran."

7.DISAYANGI RASULULLAH S.A.W
Daripada Jabir Bin Abdullah ra. Bahawa nabi s.a.w menyatukan dua orang daripada orang-orang yang gugur dalam perang uhud dalam satu liang lahad.
Kemudian nabi s.a.w. bertanya, "Dari mereka berdua siapakah paling banyak hafal Al Quran?" Apabila ada orang yang dapat menunjukkan kepada salah satunya, maka nabi s.a.w memasukkan mayat itu terlebih dahulu ke liang lahad."

8.DAPAT MEMBERIKAN SYAFAAT KEPADA KELUARGA
Daripada Ali Bin Abi Thalib Karramallahu Wajhah ia berkata, "Barangsiapa membaca Al Quran dan menghafalnya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dan memberikannya hak syafaat untuk sepuluh anggota keluarganya di mana mereka semuanya telah di tetapkan untuk masuk neraka."

9.PENGHAFAL AL QURAN AKAN MEMAKAI MAHKOTA KEHORMATAN
Daripada Abu Hurairah ra.daripada nabi s.a.w. baginda bersabda: Orang yang hafal Al Quran, pada hari kiamat nanti akan datang dan Al Quran akan berkata;
"Wahai Tuhan, pakaikanlah dia dengan pakaian yang baik lagi baru." Maka orang tersebut diberikan mahkota kehormatan. Al Quran berkata lagi: "Wahai Tuhan tambahlah pakaiannya." Maka orang itu di beri pakaian kehormatannya. Al Quran lalu berkata lagi, "Wahai Tuhan, redhailah dia." Maka kepadanya dikatakan; "Bacalah dan naiklah."Dan untuk setiap ayat, ia di beri tambahan satu kebajikan."

10.HAFAL AL QURAN MERUPAKAN BEKALAN PALING BAIK
Daripada Jabir bin Nufair, katanya rasulullah s.a.w. bersabda;
"Sesungguhnya kamu tidak akan kembali menghadap Allah dengan membawa sesuatu yang paling baik daripada sesuatu yang berasal daripada-Nya iaitu Al Quran.

11.ORANG TUA MEMPEROLEHI PAHALA KHUSUS JIKA ANAKNYA PENGHAFAL AL QURAN
Daripada Buraidah Al Aslami ra, ia berkata bahawasanya ia mendengar Rasulullah s..a.w bersabda: "Pada hari kiamat nanti, Al Quran akan menemui penghafalnya ketika penghafal itu keluar dari kuburnya. Al Quran akan berwujud seseorang dan ia bertanya kepada penghafalnya:"Apakah anda mengenalku?"
Penghafal tadi menjawab; "Saya tidak mengenal kamu." Al Quran berkata; "Saya adalah kawanmu, Al Quran yang membuatmu kehausan di tengah hari yang panas dan membuatmu tidak tidur pada malam hari. Sesungguhnya setiap pedagang akan mendapat keuntungan di belakang dagangannya dan kamu pada hari ini di belakang semua dagangan. Maka penghafal Al Quran tadi di beri kekuasaan di tangan kanannya dan diberi kekekalan ditangan kirinya, serta di atas kepalanya dipasang mahkota perkasa. Sedang kedua orang tuanya diberi dua pakaian baru lagi bagus yang harganya tidak dapat di bayar oleh penghuni dunia keseluruhannya. Kedua orang tua itu lalu bertanya: "Kenapa kami diberi dengan pakaian begini?". Kemudian di jawab, "Kerana anakmu hafal Al Quran." Kemudian kepada penghafal Al Quran tadi diperintahkan,"Bacalah dan naiklah ketingkat-tingkat syurga dan kamar-kamarnya."
Maka ia pun terus naik selagi ia tetap membaca, baik bacaan itu cepat atau perlahan (tartil)

12.AKAN MENEPATI KELAS TERTINGGI DI DALAM SYURGA.
Daripada Aisyah ra ia berkata, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Jumlah tingkatan-tingkatan syurga sama dengan jumlah ayat-ayat Al Quran. Maka tingkatan syurga yang dimasuki oleh penghafal Al Quran adalah tingkatan yang paling atas, dimana tidak ada tingkatan lagi sesudah itu."




HUKUM MENGHAFAL AL QURAN

Memandangkan betapa pentingnya menghafaz al-Quran bagi menjaga keaslian dan kesuciannya maka ulama telah bersepakat bahawa menghafaz al-Quran itu hukumnya fardu kifayah. Imam Badr al-Din Muhammad bin 'Abdillah al-Zarkasyi di dalam bukunya al-Burhan fil Ulum al-Quran (Juzuk 1: 271) menyatakan:“Mempelajari al-Quran hukumnya adalah fardu kifayah, demikian juga memeliharanya (iaitu menghafaznya) maka ia juga wajib (kifayah) bagi setiap umat.”

Imam an-Nawawi menambah, orang yang melaksanakan fardhu kifayah adalah lebih istimewa daripada orang yang menunaikan tanggungjawab fardhu ain kerana ia telah melepaskan bebanan yang ditanggung oleh masyarakat. Fardhu kifayah lebih utama daripada fardhu ain kerana orang yang melaksanakannya telah menyelesaikan permasalahan ummah dan telah menggugurkan bebanan ummah sedangkan fardhu ain hanyalah terbatas ke atas individu pelaksananya sahaja.

Hukum fardu kifayah ini bermakna sekiranya sudah ada di antara kaum muslimin di suatu tempat yang menghafaz al-Quran, maka lepaslah tanggungjawab kesemua masyarakat tersebut dari kewajipan itu. Sebaliknya jika tiada seorang pun yang menghafaznya maka seluruh kaum muslimin pada tempat tersebut akan menerima dosa.


PERSEDIAAN SEBELUM MENGHAFAZ :

1. Membersihkan diri dari segala hadas.
2. Memakai wangi-wangian.
3. Bersugi atau memberus gigi.
4. Berwudhuk.
5. Memilih mushaf yang biasa digunakan seharian.
• Pastikan tulisan mudah dibaca.
• Sebaiknya menggunakan mushaf rasm uthmani.
6. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafaz Al Quran.
7. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz Al Quran. Waktu yang
dicadangkan:
• Selepas subuh.
• Selepas maghrib.
8. Pilih guru yang ingin anda perdengarkan bacaan dan hafalan anda.
9. Perbetulkan niat untuk menghafal Al Quran.

CARA MENGHAFAZ :

1. Tentukan had bilangan ayat atau mukasurat yang hendak dihafal.
2. Bacalah ayat yang hendak dihafal. Pastikan bacaan tersebut betul dari segi tajwid dan sebutan.
3. Ulang bacaan dengan disemak bacaan tersebut supaya tidak ada kesilapan setiap kali ianya diulang.

• Bilangan ulangan ayat yang dicadangkan adalah sebanyak 60 / 30 / 10 / dan lain-lain bersandarkan kepada kemampuan ingatan seseorang.

• Semakin banyak ayat diulang semakin mudah ianya dihafal dan kekal lebih lama dalam ingatan.

4. Sebaik sahaja selesai ulangan bacaan tersebut dan anda berpuashati dengan bacaan tersebut, mulakan dengan mengulang ayat yang pertama yang ingin dihafal sehinggalah berjaya menghafal ayat tersebut.

5. Kemudian berpidahlah ke ayat yang kedua. Ulang langkah yang sebelumnya sehingga selesai hafalan ayat yang ketiga.
6. Ulang hafalan ayat satu kemudian diiukuti ayat yang kedua.
7. Selepas anda yakin ayat satu dan dua telah dihafal dengan hafalan yang sempurna mulakan hafalan dengan diulang langkah yang digunakan pada ayat yang pertama dan ayat yang kedua. Kemudian susuli dengan urutan ayat satu dua dan tiga dihafal serentak.
8. Ayat yang berikutnya juga dilakukan langkah seperti ayat satu dua dan tiga sehinggalah sampai ke had yang telah ditetapkan ( cth : 1 ms / 1 maqra’ ).
9. Ulang keseluruhan hafalan sehinggalah benar-benar yakin hafalan tersebut sempurna.
10. Perdengarkan bacaan kepada guru atau kawan yang dipilih.
11. Apabila ingin memulakan hafalan yang baru, ulang terlebih dahulu hafalan yang lalu, barulah dimulakan hafalan yang baru dengan cara yang sama pada hafalan yang lalu.
12. Hafal setiap ayat dan alunkanlah ia dengan penuh tadabbur dan dengan penuh kesungguhan serta niat untuk memahami dan memelihara kalam Allah.

SELEPAS MENGHAFAZ :

1. Berdoa agar dikurniakan keberkatan dalam hafalan. Antara doa yang baik untuk dibaca:

“ Ya Allah Rahmatilah kami dengan Al Quran, jadikanlah ia pemimpin, cahaya dan petunjuk dan rahmat bagi kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami dilupakan , ajarilah kami apa tidak tahu dan berikanlah kami rezeki membacanya di sebelah malam dan di sebelah siang. Jadikanlah ianya hujjah bagi kami wahai Tuhan sekalian alam”.
2. Pastikan Al Quran sentiasa dibaca dan diulang selalu. Pastikan setiap hari ada jadual mengulang dan jadual hafalan yang baru.
3. Berusaha untuk memperbaiki bacaan , memahami makna, hukum dan hikmah yang terkandung di dalam setiap ayat.
4. Berusaha untuk beramal dengan setiap perintah yang didatangkan dan berusaha menjauhi setiap larangan yang terkandung di dalam Al Quran.


TABIAT MEREKA YANG INGIN MENGHAFAZ AL QURAN

1. Sentiasa di dalam keadaan bersih dan suci.
2. Sentiasa berjaga-jaga daripada termakan makanan atau minuman yang haram, begitu juga yang syubhat.
3. Rajin bangun di waktu malam untuk berqiyamullail, membaca Al Quran dan menunaikan solat malam.
4. Mengelakkan daripada melakukan perkara yang sia-sia sama ada dalam bentuk perbuatan atau percakapan serta menjauhi perkara yang dilarang oleh Allah sama ada dalam bentuk percakapan atau perbuatan.
5. Menjaga tingkahlaku dan percakapan seharian.
6. Rajin berpuasa sunat.
7. Memastikan niat menghafal Al Quran sentiasa kerana Allah bukan kerana habuan dunia dan sebagainya.
8. Menjaga hubungan baik dengan Allah dan manusia.

Tuesday, March 23, 2010

MESYUARAT AGONG KOPERASI MASJID

MESYUARAT AGONG (PENAJAAN)
KOPERASI MASJID SULTAN MAHMUD KUALA LIPIS

TARIKH : 27HB MAC 2010 (SABTU)

MASA : 9.00 PAGI

TEMPAT : DEWAN MASJID SULTAN MAHMUD

ATURCARA : ALUAN PENGERUSI PENAJA
PERASMIAN OLEH YH' DATO' PEGAWAI DAERAH LIPIS
SESI PENERANGAN OLEH PENOLONG PENGARAH SURUHANJAYA
KOPERASI DAERAH RAUB/LIPIS
MESYUARAT AGONG

ORANG RAMAI DIJEMPUT HADIR & DIGALAKKAN MENJADI AHLI KOPERASI MASJID SULTAN MAHMUD.

Tuesday, March 16, 2010

Tahniah SahabatKu

Tahniah kepada sahabat kami, Ustaz Wan Abu Bakar yang telah melangsungkan perkahwinan..mudahan berkekalan selamanya.

Sunday, March 14, 2010

Tahniah SahabatKu

Mabruk buat Sahabat Kami akhi Anuar & Faizah yang melangsungkan perkahwinan. Doanya bahagia selamanya. Turut hadir bagi meraikan pengantin, sahabat kami Ustaz Saiful Nizar (Us Pon) & Ustaz Naim dari negeri Kedah...

Tuesday, March 09, 2010

BULAN SUNNAH MASJID SULTAN MAHMUD

LATAR BELAKANG :

Program Bulan Sunnah dibentuk bertujuan untuk membangkitkan kesedaran dan menarik minat masyarakat terutamanya golongan muda untuk mencintai al-Quran dan Sunnah serta melibatkan diri dengan pelbagai aktiviti masjid.


PENGENDALI :

Pegawai-pegawai Masjid Sultan Mahmud & Kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah

Pegawai-pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Lipis

Kelab Penyokong Masjid & Persatuan Pelajar Kelas Al-Quran Masjid

OBJEKTIF PROGRAM :

1. Membangkitkan rasa dan cinta terhadap Rasulullah
2. Melahirkan masyarakat yang taat dan patuh dengan ajaran Islam.
3. Membentuk ukhwah yang erat sesama muslim.
4. Memupuk semangat kerjasama dan persaingan yang sihat.
5. Menambahkan Ilmu pengetahuan dan pengalaman yang berguna kepada semua.


TEMPAT :

Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis

TARIKH :

18 Mac 2010 (Khamis)
19 Mac 2010 (Jumaat)
27 Mac 2010 (Sabtu)
6 & 7 April 2010 (Selasa & Rabu).


TEMA PROGRAM :

‘‘MEMANTAP UKHWAH MEMPERKASA UMMAH’’


SASARAN :

Seluruh penduduk Kuala Lipis serta kawasan yang berhampiran

TENTATIF PROGRAM

Tarikh : 18 Mac 2010 (Khamis)
Masa : Selepas solat Maghrib
Penceramah : Maulana Juhari bin Mohd Ali bin Osman bin Abdullah bin Ubaid bin Ahmad bin Ismail al Jenderaqi
(Pengetua Maahad Tahfiz Sungai Salan Jerantut)
Tajuk : Memperkasa Sunnah dalam kehidupan harian

Tarikh : 19 Mac 2010 (Jumaat)
Masa : Selepas solat Maghrib
Penceramah : Ustaz Azlan bin Abd Rahman
(Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Negeri Pahang
Tajuk : Menghayati Sunnah Rasulullah s.a.w.

Tarikh : 27 Mac 2010 (Sabtu)

2.00-3.00pm : Pendaftaran Peserta
3.00-4.30pm : Pertandingan Bacaan Al-Quran Pelajar Sekolah
5.00-6.30pm : Pertandingan & Aktiviti Kanak-Kanak (JKM)
6.30pm : Penyampaian hadiah
8.00pm :Ceramah Oleh Ustaz Zuridan bin Daud
(Pensyarah Universiti Malaysia Pahang)
Kehidupan bersama Al-Quran & Sunnah
9.00pm : Jamuan



Tarikh : 6 April 2010 (Selasa)
Masa : Selepas solat Maghrib
Penceramah : Dr. Zulkifli bin Muhamad al-Bakri
(Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan & Terengganu)
Tajuk : Memperkasa Sunnah dalam keluarga bahagia


Tarikh : 7 April 2010 (Rabu)
Masa : 8.00am-12.00pm
Penceramah : Dr. Zulkifli bin Muhamad al-Bakri
(Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan & Terengganu)
Tajuk : Halaqah Ilmu : Syarah Kitab Hikam, Fiqh Manhaji, hadis, Soal jawab,