Saturday, September 19, 2009

Khatam al Quran

Memang sudah biasa dan terbiasa apabila bulan Ramadhan sahaja maka umat manusia rata-rata di seluruh dunia akan bertadarus al-Quran. Mengambil sunnah Rasulullah s.a.w yang apabila tiba bulan Ramadhan sahaja Baginda akan bertadarus dengan malaikat Jibrail a.s dari mula sehingga khatam.
Sebenarnya banyak kelebihan yang berkaitan dengan al-Quran. Antaranya kelebihan-kelebihan membaca dan mendengar bacaan al-Quran.

Hadis riwayat al- Tirmidzi yang bermaksud:
“Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada al Quran maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan digandakan dengan sepuluh. Tidak Aku katakan( ا،ل،م ) itu satu huruf tetapi ا satu huruf, ل satu huruf dan م satu huruf”

“sebaik-baik ibadah sunat umatku ialah membaca al-Quran”

Hadis riwayat Muslim yang bermaksud :

“Bacalah olehmu al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembacanya”

Hadis riwayat Ahmad yang bermaksud :

“barang siapa mendengar satu ayat dari al Quran maka ia akan menjadi cahaya untuknya pada hari kiamat”

Dalam masyarakat kita ada beberapa cara bertadarus al-Quran. Ada yang bertadarus dari hari kehari sehingga khatam. Ada juga yang beberapa jam sahaja sudah boleh membuat majlis khatamnya.
Apabila telah tamat membaca al-Quran, biasanya orang akan membuat majlis khatam al Quran.
Membaca al Quran sehingga khatam adalah suatu ibadah yang amat disukai Allah. Terdapat banyak kelebihan antaranya
Hadis riwayat al Baihaqi yang bermaksud :

“Pada setiap kali khatam al Quran itu ada bersamanya doa yang mustajab”

Ulama Salaf mempunyai cara tersendiri semasa khatam al Quran. Ada yang tidak berdoa setelah khatam al Quran. Sebaliknya mereka hanya beristighfar kepada Allah dengan penuh perasaan malu.
Ada daripada ulama salaf yang berdoa dengan penuh perasaan mengharapkan rahmat daripada Allah dan sebagai hamba sangat berhajat kepada Tuhan.
Ada daripada ulama salaf apabila selesai khatam al Quran terus menyambung bacaan dengan awal surah al Fatihah tanpa diselangi dengan doa.
Ada pula ulama salaf apabila selesai khatam al Quran ters menyambung bacaan dengan awal surah al Fatihah dan surah al Baqarah sampai ayat 5, kemudian mereka berdoa. Inilah cara yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam.

p/s : Ulama Salaf iaitu mereka yang hidup dalam masa 500 tahun pertama sejak zaman Rasululah s.a.w. Ulama Khalaf pula ialah mereka yang hidup dalam masa 500 tahun selepas ulama salaf. Adapun mereka yang hidup selepas ulama khalaf sehingga ke hari ini dinamakan dengan ulama Mutaakhirin.

Terjemahan doa Khatam al Quran
Ya Allah ya Tuhan Kami terimalah doa dan amalan kami, sesungguhNya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha mengetahui, dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah yang Maha menerima taubat lagi Maha mengasihi, dan tunjuklah kami serta bimbinglah kami ke jalan yang lurus dengan keberkatan al-Quran yang mulia.
Ya Allah ya Tuhan kami rahmatilah kami dengan al Quran, dan jadikanlah al Quran sebagai ikutan, cahaya, petunjuk dan rahmat untuk kami. Ya Allah ingatkanlah kami apa yang kami lupa daripadanya, dan ajarkanlah kami apa yang kami tidak tahu mengenainya, dan kurniakanlah kepada kami keupayaan untuk membacanya di waktu malam dan siang, dan jadikanlah ia sebagai hujah untuk kami.
Ya Allah ya Tuhan kami hiasilah akhlak kami dengan perhiasan al Quran, dan muliakanlah kami dengan kemuliaan al Quran, dan tinggikanlah kedudukan kami dengan ketinggian al Quran, dan pakaikanlah kami dengan pakaian al Quran, dan masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafaat al Quran, dan selamatkanlah kami daripada segala bencana dunia serta azab akhirat dengan kehormatan al Quran.
Ya Allah ya Tuhan kami jadikanlah al Quran itu bagi kami di dunia sebagai rakan, dan di kubur sebagai teman, dan pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat, dan di atas titian sirat sebagai cahaya, dan ke syurga sebagai teman, dan daripada api neraka sebagai penghadang dan pendinding, dan ke arah kebaikan sebagai pedoman dan ikutan, dengan limpah kurnia kemurahan serta kemuliaanMu jua wahai Tuhan yang Maha mulia.
Ya Allah ya Tuhan kami berikanlah petunjuk kepada kami dengan petunjuk al Quran, dan selamatkanlah kami daripada api neraka dengan kemuliaan al Qura, dan tinggikanlah kedudukan kami dengan kelebihan al Quran, dan hapuskanlah segala dosa kami daripada kami dengan membaca al Quran wahai Tuhan yang mempunyai segala kelebihan dan kebaikan.
Ya Allah ya Tuhan kami kurniakanlah kepada kami dengan setiap huruf daripada al Quran itu kemanisan, dan setiap kalimah daripada al Quran itu kemuliaan, dan dengan setiap daripada ayat daripada al Quran itu kemesraan, dan dengan setiap surah daripada al Quran itu keselamatan, dan dengan setiap juzu’ daripada al Quran itu balasan kebaikan, dan dengan setiap rubu’ daripada al Quran itu kerehatan, dan dengan setiap nisf daripada al Quran itu kenikmatan, dan dengan setiap fathah daripada al Quran itu kegembiraan, dan dengan setiap kasrah daripada al Quran itu sebagai pakaian, dan dengan setiap waqaf daripada al Quran itu pemeliharaan.
Ya Allah ya Tuhan kami kurniakanlah kepada kami dengan Alif itu keamanan serta keimanan, dan dengan ب itu keberkatan serta keelokan, dan dengan ت itu keampunan serta kejayaan, dan dengan ث itu kekayaan serta pahala, dan dengan ج itu kemegahan serta kebesaran, dan dengan حitu kesabaran dan perasaan malu,dan dengan خitu perasaan takut serta rendah diri, dan dengan د itu pemerintahan serta petunjuk, dan dengan ذ itu kekuatan fikiran serta kecerdikan, dan dengan ر itu kasihan belas serta pengharapan, dan dengan ز itu kezuhudan serta kesucian, dan dengan س itu kebahagian serta keselamatan, dan denganش itu penyembuh serta kemuliaan, dan dengan ص itu kesabaran serta persahabatan, dan dengan ض itu cahaya yang menerangi serta tulang belakang yang menjadi tunggak, dan dengan ط itu ketaatan serta kesucian, dan dengan ظ itu kemenangan serta kebijaksanaan, dan dengan ع itu kemaafan serta kesihatan, dan dengan غ itu kekayaan serta keuntungan, dan dengan ف itu kejayaan serta kemenangan, dan dengan ق itu penghampiran diri kepada Allah serta tidak tamak, dan dengan ك itu kesempurnaan serta kemuliaan, dan dengan ل itu kemanisan serta pertemuan dengan Allah, dan dengan م itu pengajaran serta pengampunan, dan dengan ن itu cahaya serta pelepasan dari azab, dan dengan و itu kelapangan serta pemerintahan, dan dengan ه itu kerajinan serta petunjuk, dan denganي itu kesenangan serta keyakinan.
Wahai Tuhan kami kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab api neraka, dan cucurilah rahmat atas penghulu kami Nabi Muhammad dan keluarganya serta sekalian para sahabatnya. Maha suci Tuhanmu, Tuhan yang memiliki sifat kemuliaan, dan selamat sejahtera atas semua Rasul, dan segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang mentadbir sekalian alam.
Sedikit info berita dari hulu Pahang :
Sebagai memenuhkan aktiviti program Ihya’ di bulan Ramadhan di samping sebagai tuntutan serta sunnah Rasulullah s.a.w maka Masjid Daerah Lipis telah membuat program tadarus al Quran. Program tadarus yang berjalan sepanjang bulan Ramadhan ini terbahagi kepada dua sesi, sesi muslimin pada setiap selepas solat subuh dan sesi muslimat pada pukul 9.00 pagi.
Sambutan amat baik, walaupun terdapat ramai lagi ahli jemaah yang tidak berani untuk bersama-sama dalam majlis tadarus ini. Mungkin selamanya mereka tidak berani dek kerana tidak mahu belajar atau malu untuk belajar.
Alhamdulillah, sesi tadarus berjalan lancar dan khatam pada 27 Ramadhan 1430 bersamaan 17hb September 2009 Masihi. Sebagai meraikan ahli-ahli tadarus yang istiqamah mengambil bahagian juga kerana berani (tidak malu & tidak segan) bersama-sama dalam tadarus al Quran ini maka pihak pentadbiran Masjid Daerah Lipis menyampaikan sedikit cenderamata sebagai motivasi dan semangat untuk lebih bergiat dengan al Quran ini insyaAllah. Juga terima kasih buat Pasaraya Terus Maju dan Ahli Parlimen Lipis yang menaja cenderamata tersebut.













No comments: