Monday, July 28, 2008

Lepasan tahfiz disaran sertai kerjaya professional

Utusan Malaysia ; 28 Julai

KUALA KUBU BHARU 27 Julai - Siswazah tahfiz al-Quran disaran terlibat dalam kerjaya profesional yang lebih mencabar seperti menteri Kabinet atau Ketua Setiausaha Negara (KSN) dalam memberi sumbangan untuk pembangunan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata, lepasan tahfiz perlu lebih peka mencari peluang pekerjaan kerana skop bidang kerjaya bagi golongan tahfiz adalah lebih luas daripada sekadar menjadi guru di sekolah.

"Selain memilih kerjaya lazim seperti menjadi imam di masjid dan guru agama di sekolah, siswazah tahfiz juga digalakkan untuk berani menempatkan diri dalam bidang profesional.
"Mereka boleh menceburi bidang arkitek, kejururawatan, arkeologi dan tenaga pakar dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi.

"Namun, saya mahu melihat golongan ini memegang jawatan tinggi dalam pentadbiran negara seperti menteri Kabinet atau KSN dalam tempoh dua dekad dari sekarang, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Darul Quran ke-17 dan Penyerahan Sijil MS ISO 9001:2000 Darul Quran di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz dan Pengarah Darul Quran, Che Ibrahim Che Man.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, kerajaan dari semasa ke semasa berusaha menambah kemudahan yang bersesuaian untuk menaik taraf Darul Quran sebagai Kolej Universiti bagi memantapkan lagi institusi tahfiz al-Quran di negara ini sama ada di peringkat diploma atau sijil.
"Selain infrastruktur, kita juga bercadang untuk menambah tiga buah jabatan lagi di Darul Quran selain Jabatan Qiraat, Dakwah dan Syariah yang sedia ada.

"Di samping itu, kita juga mahu semua tenaga pengajar Darul Quran memberi perhatian pada silibus dan kursus yang diperlukan bagi memantapkan lagi kualiti yang ada pada setiap graduan lepasan institusi tahfiz tersebut, " katanya.

Terdahulu, seramai 401 graduan yang telah menamatkan pengajian di Darul Quran menerima diploma dan sijil tahfiz al-Quran masing-masing termasuk graduan bagi sijil Tarannum al-Quran.
Daripada jumlah tersebut, seramai 33 graduan diploma termasuk sijil tahfiz al-Quran peringkat Mumtaz berjaya dinobatkan sebagai penerima Anugerah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dengan menerima wang tunai RM500 serta sijil penghargaan.
Sementara itu, Anugerah Pelajar Mithali Lelaki berjaya dirangkul oleh graduan diploma tahfiz al-Quran, Muhammad Rashidi Abdul Hamid manakala Shaafiqah Idris bagi kategori wanita dengan membawa pulang wang tunai bernilai RM500 termasuk senaskah buku tafsir al-Quran.

No comments: