Monday, August 27, 2007

Usia dan Gugur

Alhamdulillah syukur kepada ilahi yang telah mengurniakan nikmat yang tidak terhingga kepada kita. Selaku hambaNya tugas dan tanggungjawab kepadaNya perlulah diambil berat, jangan apabila ditimba musibah baru teringat kepadaNya. Sungguh bongkak kalaulah ada yang bersifat sedemikian.

Sedar tak sedar perjuangan menyebarkan Islam telah memakan usia ribuan tahun lamanya. Zaman bertukar zaman, namun perjuangan dalam menyebarkan risalah Allah terus berjalan walaupun arus perjalanannya tidak menentu, kadangkala laju, kadangkala perlahan dan adakalanya pula seolah hampir terhenti , namun di atas KehendakNya risalahNya tetap terus tersebar.

Kalau kita perhati pada usia seseorang manusia, semakin tua semakin lemah tidak berdaya, uzur menunggu masa sahaja walaupun tidak dinafikan padanya terkandung seribu macam pengalaman hidup yang sangat berharga untuk dikutip.

Namun dalam perjuangan menyebarkan risalahNya, hal ini berbeza sekali. Lamanya tempoh sesebuah perjuangan tidak boleh menggambarkan letih, lemah, uzur pejuang-pejuang itu. Bahkan dengan lamanya tempoh perjuangan sebenarnya merupakan suatu proses pentarbiahan secara langsung dari Allah s.w.t kepada pejuang-pejuang. Kita menyaksikan dalam proses pentarbiahan itu ada yang berjaya menjalaninya, mereka melaluinya pantas seperti kilat, ada juga yang berjaya setelah menjalani suatu kehidupan sukar yang cukup mencabar dan ada juga yang gugur tertewas di pertengahan jalan perjuangan tanpa sempat menghabisi sukatan-sukatan tarbiah yang mungkin tidak disedarinya.

Sebenarnya dengan tidak disedari oleh kebanyakan manusia ini merupakan suatu proses tapisan dari Allah s.w.t sendiri kepada hambaNya. Hanya mereka yang melepasi tapisan ini layak untuk bergerak dalam saff perjuangan.

Banyak kisah-kisah silam yang telah kita baca dan ketahui mengenai mereka yang gugur di sepanjang jalan perjuangan. Kita berdoa kepada Allah mudahan dikurniakan kekuatan dan keupayaan untuk menghadapi cabaran-cabaran yang merupakan tamrin-tamrin dari ilahi yang menyusun suatu proses tarbiah kepada hambaNya. Kita bermohon agar dikurniakan keampunan terhadap kesalahan-kesalahan dan kelemahan kita.

Kita sentiasa berharap Allah s.w.t memelihara kita dari anasir-anasir keguguran di medan perjuangan, tidak tergesa-gesa mengejar kejayaan yang bukan pada masanya lagi. Sabar di atas jalan yang jelas sekalipun perjalanannya panjang dan sukar adalah lebih terpuji dari berada di atas jalan yang mudah tetapi dipenuhi kesamaran, pura-pura, munafik dan kebatilan.
Ameen..

No comments: